Saturday, November 19, 2016

SYAIR SERATUS SITI (JUNAINI KASDAN)

SYAIR SERATUS SITI (JUNAINI KASDAN)
MAKSUD
RANGKAP SYAIR
MAKSUD SYAIR
Tersebut pula suatu perkataan,
Raja Malabari empunya kerajaan,
Sehari-hari bersuka-sukaan,
Rakyatnya banyak tiada terkian.
Maka tersebut sebuah kisah Raja Malabari dan kerajaannya yang hidup gembira bersuka ria serta rakyatnya terlalu ramai tidak terkira banyaknya.
Bangsanya Ajam baginda itu,
Kerajaan besar bukan suatu,
Takluk banyak sudah tertentu,
Menghantar ufti sekalian ke situ.
Bangsa Ajam keturunan baginda memiliki kerajaan besar dan berkuasa kerana mempunyai jajahan takluk yang banyak dan semua memberi ufti kepada baginda.
Ada kepada suatu hari,
Baginda semayam di balai seri,
Dihadap sekalian hulubalang menteri,
Ramainya tidak lagi terperi.
Pada suatu hari Baginda berehat di balairung seri dihadap semua menteri dan hulubalang yang sangat ramai.
Banyaknya tidak menderita,
Berlimpah sampai ke tepi kota,
Bahana gemuruh gegak gempita,
Menghadap baginda di atas takhta.
Ramai rakyatnya hidup aman sejahtera, dari desa hingga kota tiada sengsara dan mereka semua datang menghadap baginda.
Lasykarnya banyak beribu laksa,
Penuh sesak segenap desa,
Negerinya makmur sangat sentosa,
Sehari-hari suka termasa.
Baginda mempunyai beribu kapal dan lasykar sehingga ceruk desa negeri aman makmur dan hidup dengan gembira.
Baginda melihat kebesarannya,
Sangatlah takbur pada rasanya,
Lalu bertitah kepada menterinya,
Aku nan siapa tara bandingnya.
Baginda bangga dengan kebesarannya dan kehebatannya kerajaan miliknya sehingga takbur dan angkuh lalu berkata siapa lagi yang setara dengan kebesarannya.
Adakah raja terlebih kaya,
Daripada aku terlebih mulia,
Akulah raja di dalam dunia,
Terlebih daripada aku manakah dia.
Baginda turut bertanya adakah lagi orang lebih kaya daripadanya lebih mulia dan mempunyai kerajaan besar setaranya, siapakah hebat lagi dari Aku?
Baiklah segera kamu berkata,
Kepada kau supaya nyata,
Aku nan hendak mendengar warta,
Adakah raja bermahkota.
Baginda terus bertanya untuk mendapat jawapan siapa lagi lebih kaya dan hebat dari baginda raja bermahkota?
Berdatang sembah seorang pahlawan,
Kaya tuanku tiada berlawan,
Serta adil dengan kelimpahan,
Rakyat tentera berkoyan-koyan.
Lalu datang seorang pahlawan memberitahu tiada siapa yang standing dengan Baginda Raja Malabari yang adil dan memiliki rakyat serta tentera yang sangat ramai.

TEMA
Syair Seratus Siti bertemakan kehebatan dan keangkuhan seorang pemerintah.

PERSOALAN
1) Persoalan pemerintahan raja yang hebat dan besar jajahan takluknya. Raja Malabari seorang baginda raja yang menguasai banyak negeri dan menerima ufti iaitu hadiah dari negeri takluknya. Raja Malabari hebat dalam mentadbir dan mengurus negerinya.
2) Persoalan pentingnya Raja mempunyai tentera yang ramai dan menurut perintah. Raja Malabari mempunyai tentera yang sangat ramai dan semuanya patuh dan tunduk kepada baginda.
3) Persoalan kepentingan rakyat bersatu padu dan sejahtera. Rakyat jelata kerajaan Raja Malabari hidup aman makmur dan bahagia.
4) Persoalan sikap angkuh dan takbur seorang pemerintah. Raja Malabari angkuh dan takbur dengan kehebatan, kekayaan dan kemuliaan dirinya.Baginda bertanya pada semua siapa yang setara dengannya untuk membandingkan dan menunjukkan bahawa dia adalah raja paling hebat dan berkuasa.
5) Persoalan pentingnya menurut perintah raja. Rakyat jelata semua akur dan tunduk hormat kepada baginda raja dan bersatu mempertahankan kesejahteraan dengan menjadi tentera menjaga keamanan.
6) Persoalan kekayaan dan kehebatan raja. Raja Malabari mempunyai beribu lasykar dan tentera.
BENTUK
1) Syair ini mempunyai 9 rangkap yang sekata barisnya.
2) Syair ini terdiri daripada 4 baris serangkap.
3) Syair ini terdiri daripada 2 hingga 5 patah perkataan serangkap
    contohnya :  Sehari-hari bersuka-sukaan  ( 2 patah perkataan)
                      : Berlimpah sampai ke tepi kota (5 patah perkataan)
4) Syair ini terdiri daripada 9 hingga 14 suku kata dalam sebaris
5) Syair ini mempunyai rima akhir yang sekata iaitu aaaa

GAYA BAHASA

1) Kata Ganda – contohnya : sehari-hari , bersuka-sukaan
2) Bahasa Melayu klasik – empunya, terkian, terperi,
3) Bahasa Istana – Raja, Baginda, Tuanku,
4) Sinkope – ku

NILAI

1) Ketaatan
2) Kejujuran
3) Kebijaksanaan
4) Kemegahan
5) Kemakmuran
6) Kedamaian
7) Keadiilan

PENGAJARAN

1) Kita hendaklah taat dan setia kepada pemerintah, raja dan negara. Rakyat Baginda Raja Malabari taat dan setia kepada baginda dan ramai menjadi askar dan benteng negara.

2) Kita mestilah jujur dalam berkata. Contohnya, pahlawan jujur mengatakan tiada siapa setanding dengan baginda raja Malabari dari segi kekayaan, kemewahan, kehebatan, kebesaran, kekuasaan baginda.

3) Kita haruslah bijaksana dalam mentadbir dan mengurus negara. Raja Malabari bijak menjaga kerajaan baginda dengan mempunyai ramai rakyat, lasykar dan tentera serta negeri jajahan takluknya yang banyak.

4) kita perlulah bersikap adil dan saksama. Raja Malabari juga adil dan saksama dengan rakyatnya.

5) Kita seharusnya menjaga negara dengan makmur dan sentosa. Contohnya, Raja Malabari mempunyai kerajaan yang rakyatnya hidup makmur, aman dan sentosa.