Saturday, August 11, 2018

TIPS MENJAWAB SOALAN CIRI-CIRI PUISI ATAU BENTUK PUISI !!

Semua sedia maklum ciri-ciri puisi atau bentuk puisi sama ada puisi tradisional mahupun puisi moden iaitu sajak terbina dan terbentuk dari ciri-ciri yang mengukuhkan sifat puisi itu sendiri. 

Untuk perbincangan kali ini, suka saya kongsikan tips dan teknik menjawab ciri-ciri puisi atau bentuk puisi yang selalu diajukan pada Bahagian Satu soalan satu Peperiksaan Kesusasteraan Melayu SPM.

Peruntukkan markah bagi soalan satu ini adalah sebanyak 4 markah. Baiklah berikut merupakan teknik mudah untuk anda kuasai dalam mengingati ciri-ciri puisi. Dan teknik ini telah saya gunakan selama 3 tahun dan ia amat berkesan. 

Untuk melihat ciri-ciri puisi kita perlu lihat secara menyeluruh dari rangkap hinggalah setiap huruf dan kata. 

Ciri-ciri puisi terdiri daripada : rangkap, baris, patah perkataan, suku kata, rima akhir, dan nada

TIPS MUDAH INGAT --->> RaBaPaSuRiNa

Ra = Rangkap
Ba = Baris
Pa = Patah perkataan
Su = Suku kata
Ri  = Rima Akhir
Na = Nada

Enam ciri ini sudah memadai untuk pelajar kuasai bagi menjawab soalan bahagian satu (4) markah dan bahagian dua (8 - 10 markah) dan sertakan dengan bukti dan contoh yang tepat dan betul. 

CONTOH SOALAN BAHAGIAN SATU




1.            Burung kekek burung di hutan,
                    Terbang naik berlegar-legar,
               Mari encik marilah tuan,
                    Barang baik baru keluar. 


                                          (Dipetik daripada puisi tradisional Teks Nilai Insan)

     Nyatakan empat ciri puisi di atas.                                         (4 markah)

     
     Empat ciri puisi di atas ialah pertama rangkap, contohnya puisi di atas mempunyai satu rangkap, ciri kedua ialah terdapat baris iaitu puisi di atas mempunyai empat baris serangkap. Ciri yang ketiga ialah patah perkataan, contohnya puisi di atas mempunyai tiga hingga empat patah kata. Ciri yang keempat ialah suku kata, puisi di atas mempunyai suku kata yang sama setiap baris iaitu sembilan suku kata. Rima akhir jenis yang terikat iaitu mempunyai rima yang sama berselang abab. Manakala nada puisi di atas ialah sinis. 

markah bagi jawapan di atas 4/4 markah.

Ulasan :

Jawapan yang diberikan sudah melebihi empat ciri jika mempunyai masa galakkan pelajar jawab lebih sekiranya terdapat kesalahan dan yang lain akan bantu dalam permarkahan. 

Sila galakkan pelajar conteng kertas soalan dengan kata kunci yang dihafal dan terus cari jawapan menggunakan kata kunci : RaBaPaSuRiNa

Pasti ada yang tertanya-tanya kenapa patah perkataan jawapan di atas ialah tiga hingga empat patah kata. 

tiga = Terbang naik berlegar-legar (kata ganda dikira satu patah sahaja)

empat = Burung kekek burung di hutan (pasti yang anda fikir 5 patah perkataan) jawapan anda salah kerana kata sendi nama "di" dan "ke" tidak di kira dalam patah kata kerana ia sudah membentuk satu kata "di hutan" sudah menunjukkan satu lokasi atau tempat. Namun untuk suku kata semua perkataan adalah wajib dikira kerana suku kata melibatkan semua huruf yang terbentuk. 

SEMOGA SEDIKIT PERKONGSIAN INI MEMBANTU GURU DAN MURID DALAM MENDAPATKAN 4 MARKAH PENUH BAGI SOALAN 1 BAHAGIAN SATU SEKIRANYA IA MENGAJUKAN SOALAN CIRI-CIRI PUISI. JIKA SOALAN BERTANYA GAYA BAHASA TUNGGU TIPS YANG BERIKUTNYA. DOAKAN SAYA MEMPUNYAI MASA YANG CUKUP UNTUK MEMBERI TIPS A++++++ BUAT CALON SASTERA SEMUA. 


















4 comments: